Enam Sebab Orang Menulis Wasiat Walaupun Ada Hukum Faraid

Ramai yang berfikir harta akan dibagi kepada waris semasa hidup, malangnya, ramai yang menemui ajal dahulu dan membiarkan waris bermusuh kerana berebut harta pusaka…

Overview Isu Harta Pusaka Hari Ini – Wajib Dengar

Kadang-kadang kita tanya kawan, ‘Engkau ada menulis wasiat?’

Jawapan yang kita biasa dengar ialah ‘Dah ada hukum faraid kenapa perlu nak buat wasiat.’

Lagi satu kita dengar, ‘mana boleh kita boleh menulis wasiat kepada ahli keluarga sebab mereka waris.’

Ada betul dan ada kurang tepat jawapan itu. Mari kita lihat dahulu kesah harta pusaka yang selalu baca di akhbar.

RM6o Bilion Harta Pusaka Terbeku – Antara Sebabnya Gagal Menulis Wasiat

harta pusaka terbeku
Harta terbeku kerana mungkin tidak membuat wasiat.

Adakah anda tahu harta seseorang itu akan terbeku secara automatik apabila beliau meninggal?

Pada 2016, harta orang Islam Malaysia terbeku dianggarkan RM60 bilion. Ini termasuk tanah dan properti yang masih ats nama si mati, simpanan di bawah Wang Tidak Dituntut atau simpanan yang tidak ada penama di institusi kewangan seperti KWSP atau Tabung Haji.

Nilai harta terbeku ini mungkin di sekitar RM85 bilion pada 2020 jika andaikan ia bertambah 10% setahun.

Antara sebab harta orang Islam terbeku ialah semasa hidup mereka tidak menulis wasiat.

Tanpa wasiat, pihak berkuasa tidak tahu siapa waris dan cara menghubungi mereka.

Orang Kaya Pun Terlupa Menulis Wasiat

Adakah anda ikuti kesah pertelingkahan harta pusaka di kalangan waris arwah Jamaludin Jarjis, Syed Kechik dan Raja Nong Chik?

Pertelingkahan Harta Pusaka Kerana Tidak Melantik Pentadbir Harta Pusaka

cara membuat wasiat dengan as-salihin trustee bhd
Perebutan harta pusaka

Ketiga-tiga arwah Jamaludin Jarjis, Syed Kechik dan Raja Nong Chik adalah kaya dan memiliki harta berpuluh juta ringgit.

Dalam semua kes di atas waris si mati samada ibu, anak dan isteri membawa kes pertelingkahan harta pusaka ke Mahkamah Tinggi.

Mereka bukan berebut harta pusaka tetapi berebut hendak menjadi pentadbir harta secara bersama.

Sebagai pentadbir harta, mereka ada kuasa mencairkah harta si mati untuk diagihkan kepada waris.

Jika kita ikuti perjalanan kes perbicaraan di atas, ketiga-tiga kes mempunyai satu isu yang serupa: semasa hidup arwah ini tidak membuat wasiat dan melantik pentadbir harta pusaka atau wasi.

Tanpa wasiat, waris sendiri yang menentukan siapa di kalangan mereka menjadi pentadbir harta pusaka. Mungkin ada yang tidak mempercayai satu sama lain.

Pengurusan Harta Pusaka Yang Melecehkan

Waris mungkin mengambil masa berbulan atau bertahun dalam menguruskan harta pusaka – bemula dari perbincangan keluarga melantik pentadbir, menyenaraikan harta dan hutang si mati, membuat permohonan harta pusaka, perbicaraan harta pusaka hinggalah harta itu berpindah kepada waris.

Sebelum harta itu diagih kepada waris, maka hutang dunia dan akhirat si mati hendaklah diselesaikan dahulu.

Jika ada wasiat, hibah dan tuntutan harta sepencarian maka bahagian ini akan diselesaikan dahulu sebelum waris mendapat hak harta pusakanya.

Jika si mati banyak harta, proses pembahagian harta pusaka semakin rumit dan memakan masa! Bayangkan jika si mati ada banyak properti dan dibiayai dengan pinjaman bank, memang penatlah waris menguruskannya.

Ini belum kira si mati memiliki syarikat perniagaan, pemilikan saham di Bursa, pemilikan bon, simpanan emas, akaun pertukaran asing (forex), akaun perniagaan online dan insurans hayat. Tentu ia satu beban kepada waris menguruskannya.

Harta Pusaka Melebihi RM2 Juta Di Bawah Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi

Samada sesorang itu membuat wasiat atau tidak, waris tetap akan melantik peguam bagi menguruskan harta pusaka melebihi RM2 juta ke Mahkamah Tinggi. Sebuah kondo mewah dan banglo di Kuala Lumpur pun mungkin lebih RM2 juta.

Melantik peguam bagi kes Mahkamah Tinggi, antara ada isunya caj guaman yang tidak ada skala, peguam kurang kepakaran dan pengalaman dalam mengurus harta pusaka.

Ada juga kes harta pusaka terbiar apabila peguam meninggal dunia atau meninggalkan profesion guaman.

90% Rakyat Malaysia Yang Masih Belum Membuat Wasiat dan Hibah

menulis membuat wasiat
s

Masih ramai yang belum membuat wasiat atau hibah.

Ada beberapa sebab mengapa peratus di atas yang rendah. Ramai yang menganggap ia tidak penting kerana pemilik harta beranggapan mereka boleh uruskan sendiri sebelum meninggal dunia.

Kerajaan pun kurang memberi promosi akan pentingnya seseorang itu membuat wasiat atau hibah. Usaha mempromosikan produk perancangan harta banyak dilakukan sendiri oleh syarikat amanah persendirian dan swasta. Tentu skop pemasaran mereka terhad.

Insentif membuat wasiat dan hibah dari Kerajaan memang tidak ada. Contohnya, insentif membuat wasiat dan hibah tidak pernah dibentangkan dalam bajet tahunan kerajaan.

Ramai Sedar Pentingnya Menulis Wasiat Dan Melantik Pentadbir Harta Pusaka

Penulis wasiat profesional
Menulis wasiat melantik pentadbir menguruskan harta pusaka

Kesedaran orang ramai terutama golongan profesional semakin meningkat akan keperluan membuat wasiat bagi melantik pentadbir harta pusaka bagi membolehkan harta dan hutang diuruskan secara cekap apabila mereka meninggal.

Jika telah melantik pentadbir harta dalam wasiat, kehidupan isteri, ibu bapa dan anak-anak tidak akan terganggu hidup dan pelajaran anak-anak berjalan lancar sekiranya ketua keluarga atau suami meninggal.

Enam Sebab Menulis Wasiat

1. Percepatkan Proses Pembahagian Harta Pusaka Oleh Pengurus Profesional

cara menulis wasiat
Banyak syarikat amanah yang memberikan khidmat pentadbiran harta pusaka

Wasiat dapat mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka kepada waris apabila pewasiat melantik orang yang dipercayainya menguruskan harta pusaka selepas kematiannya.

Mereka yang dilantik ini dipanggil pentadbir harta atau wasi. Pentadbir ini boleh beberapa orang atau sebuah syarikat amanah.

Orang ramai lebih suka memilih syarikat amanah sebagai pentadbir harta atau wasi kerana mereka tiada kepentingan dalam pusaka si mati, mempunyai pengalaman, kemahiran dan lebih selamat, boleh dipercayai dan terus bertahan di pasaran. Ini kerana syarikat amanah ditubuhkan di bawah Akta Amanah yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Tanpa perlantikan wasi, waris akan bermuafakat melantik pentadbir di kalangan mereka bagi menguruskan harta si mati dengan Unit Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi.

Ada kemungkinan proses pembahagian harta pusaka menjadi lambat kerana tidak ada persefahaman waris-waris melantik pentadbir. Sebab yang lain ialah waris-waris sibuk dan tidak ada pengalaman menguruskan harta pusaka.

2. Proses Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Syariahnya – Hukum Farid

Ustaz Hilmi, penceramah dan juga pengarang buku Faham Faraid

Jika melantik wasi syarikat amanah dan yang berpengalaman dalam pengurusan harta pusaka, proses pembahagian harta pusaka akan melalui proses syariah yang berasaskan Hukum Faraid tanpa ragu-ragu.

Hukum Faraid adalah asas pembahagian harta pusaka. Syarikah amanah akan memastikan semua waris hadir semasa membaca wasiat, menjelaskan hutang si mati, termasuk peruntukan upah mengerjakan haji, kafarat puasa dan nazar yang belum sempat ditunaikan.

Setelah itu, harta pusaka digunakan bagi menunaikan wasiat 1/3, melaksanakan hibah dan harta sepencarian. Baki baru dibahagi kepada waris yang berhak.

3. Sedekah Jariah Ke Jalan Allah

pesakit pun memerlukan pewasiat
Pengidap sakit buah pinggang -boleh bersedekah memberi mesin dialisis.

Tiga Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”

(HR Muslim).

Sekolah tahfiz Quran, perpustakaan, masjid, surau, hospital, pusat dialisis, pusat kanser menunggu sahaja sumbangan orang ramai untuk membina, membesar pusat tersebut atau melengkapkan peralatan.

Semasa hidup ramai yang berzakat dan bersedekah bagi merealisasikan kelebihan amalan di atas. Ada yang menangguhkannya ke satu masa yang sesuai, tetapi ajal tidak pernah memberi notis.

Cara yang berkesan ialah membuat wasiat. Wasiat membenarkan seseorang itu meninfak, mewakaf atau mensedekahkan 1/3 hartanya untuk berjasa selepas kematiannya.

4. Sedekah Harta Kepada Orang Tersayang

Wasiat membenarkan pewasiat kepada orang tersayang
Wasiat membolehkan pewasiat menghadiahkan kepada orang tersayang

Ada orang yang mahu sedekah kan harta kepada orang atau waris tersayang sekiranya ia meninggal awal atau penerima itu masih lagi kanak-kanak dan tak sesuai membahaginya dahulu. Oleh itu, wasiat boleh membantu hal ini.

Mereka ini contohnya ialah, adik beradik, sepupu, anak saudara dan cucu. Mereka ini waris tetapi bukan waris utama.

5. Memberi Sebahagian Harta Kepada Anak Angkat

Wasiat untuk bahagi 1/3 harta pusaka kepada anak angkat atau bapa angkat.
Anak angkat berhak mendapat 1/3 harta bapa angkatnya jika buat wasiat

Anak angkat atau bapa angkat walaupun bukan waris berhak menerima harta maksimum 1/3 harta bapa angkat atau anak angkat tetapi dengan berwasiat.

Biasa kita dengar anak angkat tidak mendapat satu sen pun harta bapa angkat walaupun dipelihara sejak umur sehari. Harta pusaka tersebut akan dibolot oleh waris iaitu ibu bapa dan adik beradik ayah angkatnya.

6. Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur dan Anak Istimewa

hak menjaga harta anak bawah umur
Penjaga harta anak bawah umur dan istimewa

Tanpa wasiat, dan sekiranya suami meninggal dunia dan mempunyai anak bawah umur, maka hak menjaga harta itu diserahkan kepada datuk budak itu (bapa kepada bapa tadi).

Isteri, iaitu ibu kepada anak itu tiada hak menjaga harta anak itu. Jadi, mahkamah boleh memutuskan hak penjagaan harta anak itu diserahkan kepada Amanah Raya Berhad.

Bagaimanapun, isteri itu boleh menjadi penjaga harta anak tadi sekiranya semasa hidup, suami ini ada membuat wasiat. Dalam wasiat itu dinyatakan isteri ialah penjaga harta anak mereka di bawah umur atau 18 tahun.

Bagi pasangan yang mempunyai anak istimewa, kesnya sama seperti di atas. Yang beza, harta anak itu boleh dijaga oleh ibunya sampai bila-bila selagi anak itu masih berkeadaan macam itu.

Video Penerangan Matlamat dan Tujuan Orang Membuat Wasiat

Anda boleh juga mendengar video saya mengenai tujuan dan sebab orang membuat wasiat.

2 Tujuan dan 5 Sebab Orang Buat Wasiat

Siapa 23 Waris Faraid – Anda Wajib Tahu?

Dapatkan ebook percuma 23 waris faraid dari pinned post di sini Kelab Faraid Hibah Harta Pusaka

sebab menulis wasiat walaupun ada hukum faraid

Hubungi Perunding Untuk Menulis Wasiat

Anda boleh menghubungi perunding kewangan anda atau saya bagi buat wasiat atau penjelasan lanjut mengenai wasiat. Sila hubungi di Telegram saya ini…

Abd Rahaman Rasid 013-366-1242

Pautan Berguna:
Panduan Membuat Wasiat Yang Boleh Dipercayai Dan Berkesan

Ada Sembilan Sebab Orang Membuat Hibah

Mengapa Memilih as-Salihin Trustee Berhad Dalam Urusan Perancangan Harta Dan Harta Pusaka?

Lindungi Masa Depan Anak dan Isteri Dengan Membuat Wasiat

Artikel ini ditulis oleh Abd Rahaman Rasid, Perunding as-Salihin Trustee Berhad. Beliau boleh dihubungi dengan 013 366 1242 atau email abdrahaman@gmail.com