Overview Masalah dan Isu Harta Pusaka Hari ini – Wajib Dengar Dahulu
Artikel ini menerangkan tujuh kebaikan membuat wasiat yang anda patut tahu. Semoga ia memberi manfaat kepada anda dan seisi keluarga.
Jom kita dengar kesah ini dahulu…
Adakah anda mengikuti kesah pertelingkahan harta pusaka di kalangan waeis-waris arwah Jamaludin Jarjis, Syed Kechik dan Raja Nong Chik?
Akhirnya, apa komen hakim?

Harta Terbeku Bila Seseorang Meninggal Dunia -Elakkan Dengan Membuat Wasiat

Adakah anda tahu harta seseorang itu akan terbeku secara automatis apabila beliau meninggal?
Harta yang ditinggalkan ini dipanggil harta pusaka.
Pada 2016, harta orang Islam Malaysia terbeku dianggarkan RM60 bilion. Ini termasuk tanah dan properti yang masih nama si mati, simpanan di bawah Wang Tidak Dituntut atau simpanan dan caruman yang tidak ada penama di institusi kewangan
Jika ia 10% tumbuh setahun, nilai harta terbeku ini mungkin mencecah RM85 bilion pada 2020. Tentu ia satu kerugian kepada umat Islam dan orang Melayu.
Perlu diketahui, harta pusaka boleh dicairkan oleh pentadbir apabila mendapat surat kuasa dari pihak berkuasa harta pusaka samada oleh Unit Pusaka Kechil, Amanah Raya Berhad (ARB) atau Mahkamah Tinggi.
Pertelingkahan Harta Pusaka Keluarga Jamaludin Jarjis, Syed Kechik dan Raja Nong Chik – Antara Puncanya Tidak Membuat Wasiat

Ketiga-tiga arwah Jamaludin Jarjis, Syed Kechik dan Raja Nong Chik adalah sangat kaya dan memiliki harta berpuluh juta hingga bilion.
Dalam semua kes di atas waris si mati samada ibu, anak dan isteri membawa kes pertelingkahan harta pusaka arwah ke Mahkamah Tinggi.
Mereka bukan berebut harta pusaka tetapi berebut hendak menjadi pentadbir bersama harta. Ini kerana ada di antara waris telah diketepikan sebagai pentadbir walaupun mereka waris paling hampir.
Sebagai pentadbir harta, mereka ada kuasa mencairkah harta si mati untuk diagihkan kepada waris. Waris yang disisihkan sebagai pentadbir akan berprasangka harta si mati akan diagihkan secara tidak adil.
Jika kita ikuti perjalanan kes perbicaraan di atas, ketiga-tiga kes mempunyai satu isu yang serupa: semasa hidup arwah ini tidak membuat wasiat dan melantik pentadbir harta pusaka atau wasi.
Tanpa wasiat, waris sendiri yang menentukan siapa di kalangan mereka menjadi pentadbir harta pusaka. Mungkin ada yang tidak mempercayai satu sama lain.
Pengurusan Harta Pusaka Yang Melecehkan
Waris mungkin mengambil masa berbulan atau bertahun dalam menguruskan harta pusaka – bemula dari perbincangan keluarga melantik pentadbir, menyenaraikan harta dan hutang si mati, membuat permohonan harta pusaka, perbicaraan harta pusaka hinggalah harta itu berpindah kepada waris.
Sebelum harta itu diagih kepada waris, maka hutang dunia dan akhirat si mati hendaklah diselesaikan dahulu.
Jika ada wasiat, hibah dan tuntutan harta sepencarian maka bahagian ini akan diselesaikan dahulu sebelum waris mendapat hak harta pusakanya.
Jika si mati banyak harta, proses pembahagian harta pusaka semakin rumit dan memakan masa! Bayangkan jika si mati ada banyak properti dan dibiayai dengan pinjaman bank, memang penatlah waris menguruskannya.
Ini belum kira si mati memiliki syarikat perniagaan, pemilikan saham di Bursa, pemilikan bon, simpanan emas, akaun pertukaran asing (forex), akaun perniagaan online dan insurans hayat. Tentu ia satu beban kepada waris menguruskannya.
Harta Pusaka Melebihi RM2 Juta Di Bawah Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi
Samada sesorang itu membuat wasiat atau tidak, waris tetap akan melantik peguam bagi menguruskan harta pusaka melebihi RM2 juta ke Mahkamah Tinggi. Sebuah kondo mewah dan banglo di Kuala Lumpur pun mungkin lebih RM2 juta.
Melantik peguam bagi kes Mahkamah Tinggi, antara ada isunya caj guaman yang tidak ada skala, peguam kurang kepakaran dan pengalaman dalam mengurus harta pusaka.
Ada juga kes harta pusaka terbiar apabila peguam meninggal dunia atau meninggalkan profesion guaman.
Ramai Sedar Pentingnya Membuat Wasiat Dan Melantik Pentadbir Harta Pusaka
Kesedaran orang ramai terutama golongan profesional semakin meningkat akan keperluan membuat wasiat bagi melantik pentadbir harta pusaka bagi membolehkan harta dan hutang diuruskan secara cekap apabila mereka meninggal.
Jika telah melantik pentadbir harta dalam wasiat, kehidupan isteri, ibu bapa dan anak-anak tidak akan terganggu hidup dan pelajaran anak-anak berjalan lancar sekiranya ketua keluarga atau suami meninggal.
Tujuh Kebaikan Membuat Wasiat

1. Mempercepatkan Proses Pembahagian Harta Pusaka Oleh Pengurus Profesional

Wasiat dapat mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka kepada waris apabila pewasiat melantik orang yang dipercayainya menguruskan harta pusaka selepas kematiannya.
Mereka yang dilantik ini dipanggil pentadbir harta atau wasi. Pentadbir ini boleh beberapa orang atau sebuah syarikat amanah.
Orang ramai lebih suka memilih syarikat amanah sebagai pentadbir harta atau wasi kerana mereka tiada kepentingan dalam pusaka si mati, mempunyai pengalaman, kemahiran dan lebih selamat, boleh dipercayai dan terus bertahan di pasaran. Ini kerana syarikat amanah ditubuhkan di bawah Akta Amanah yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.
Tanpa perlantikan wasi, waris akan bermuafakat melantik pentadbir di kalangan mereka bagi menguruskan harta si mati dengan Unit Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi.
Ada kemungkinan proses pembahagian harta pusaka menjadi lambat kerana tidak ada persefahaman waris-waris melantik pentadbir. Sebab yang lain ialah waris-waris sibuk dan tidak ada pengalaman menguruskan harta pusaka.
2. Proses Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Syariahnya – Hukum Farid

Jika melantik wasi syarikat amanah dan yang berpengalaman dalam pengurusan harta pusaka, proses pembahagian harta pusaka akan melalui proses syariah yang berasaskan Hukum Faraid tanpa ragu-ragu.
Hukum Faraid adalah asas pembahagian harta pusaka. Syarikah amanah akan memastikan semua waris hadir semasa membaca wasiat, menjelaskan hutang si mati, termasuk peruntukan upah mengerjakan haji, kafarat puasa dan nazar yang belum sempat ditunaikan.
Setelah itu, harta pusaka digunakan bagi menunaikan wasiat 1/3, melaksanakan hibah dan harta sepencarian. Baki baru dibahagi kepada waris yang berhak.
3. Melantik Penjaga Harta Anak Bawah 18 Tahun
Ramai suami menyangka apabila beliau meninggal dunia maka harta pusaka anak kecil akan dijaga oleh isterinya. Sangkaan ini salah dari sudut undang-undang keluarga Islam.
Mengikut enakmen keluarga Islam setiap negeri, hak menjaga harta pusaka anak bawah umur yang ditinggalkan oleh bapanya akan dijaga oleh datuknya (bapa suami). Isteri tidak berhak menjaga harta anak itu.
Bagaimanapun, sekiranya suami ada membuat wasiat dan melantik isteri sebagai penjaga harta, maka isteri berhak menjaga harta anak di bawah umur sehinggalah anak itu mencapai umur dewasa – 18 tahun.
4. Menyelesaikan Hutang Pewasiat Dari Aset Yang Ada

Hutang wajib diselesaikan dahulu sebelum membahagi harta pusaka kepada waris.
Saya pernah membuatkan satu wasiat di mana pewasiat menyenaraikan berpuluh-puluh orang yang beliau berhutang – nama sipiutang, jumlah dan alamat dan nombor telefon. Dalam wasiatnya, beliau meminta menjual asetnya dan melunaskan semua hutangnya sekiranya beliau meninggal awal.
Wasiat juga berfungsi menyenaraikan harta dan hutang yang dimiliki oleh pewasiat.
Semasa hidup, ada orang yang tak mahu anak-anak mengetahui kekayaan bapanya kerana bimbang anak kurang menumpukan kepada pelajaran sebab bapanya kaya.
5. Sedekah Jariah Ke Jalan Allah

Tiga Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”
(HR Muslim).
Sekolah tahfiz Quran, perpustakaan, masjid, surau, hospital, pusat dialisis, pusat kanser menunggu sahaja sumbangan orang ramai untuk membina, membesar pusat tersebut atau melengkapkan peralatan.
Semasa hidup ramai yang berzakat dan bersedekah bagi merealisasikan kelebihan amalan di atas. Ada yang menangguhkannya ke satu masa yang sesuai, tetapi ajal tidak pernah memberi notis.
Cara yang berkesan ialah membuat wasiat. Wasiat membenarkan seseorang itu meninfak, mewakaf atau mensedekahkan 1/3 hartanya untuk berjasa selepas kematiannya.
Baki 2/3 bolehlah dibahagikan kepada waris iaitu suami/isteri, ibu bapa dan anak-anak.
6. Sedekah Harta Kepada Orang Tersayang

Ada orang yang mahu sedekah kan harta kepada orang atau waris tersayang sekiranya ia meninggal awal atau penerima itu masih lagi kanak-kanak dan tak sesuai membahaginya dahulu. Oleh itu, wasiat boleh membantu hal ini.
Mereka ini contohnya ialah, adik beradik, sepupu, anak saudara dan cucu. Mereka ini waris tetapi bukan waris utama.
7. Memberi Sebahagian Harta Kepada Anak Angkat

Anak angkat atau bapa angkat walaupun bukan waris berhak menerima harta maksimum 1/3 harta bapa angkat atau anak angkat tetapi dengan berwasiat.
Biasa kita dengar anak angkat tidak mendapat satu sen pun harta bapa angkat walaupun dipelihara sejak umur sehari. Harta pusaka tersebut akan dibolot oleh waris iaitu ibu bapa dan adik beradik ayah angkatnya.
Video Penerangan Matlamat dan Tujuan Membuat Wasiat
Hubungi Perunding Untuk Membuat Wasiat
Anda boleh menghubungi perunding kewangan anda atau saya bagi membuat wasiat atau penjelasan lanjut mengenai wasiat. Hubungi saya:
Abd Rahaman Rasid
Perancang Harta, as-Salihin Trustee Bhd
Tel: 013 366 1242 Email: abdrahaman@gmail.com
Khas untuk peminat Ilmu Faraid, Hibah, Harta Sepencarian dan Wasiat. Join sekarang. Keahlian percuma terhad 1,000 orang sahaja.
Kelab Eksklusif Faraid-Hibah-HartaSepencarian-Wasiat
Pautan Berguna:
Panduan Membuat Wasiat Yang Boleh Dipercayai Dan Berkesan
Mengapa Memilih as-Salihin Trustee Berhad Dalam Urusan Perancangan Harta Dan Harta Pusaka?
Maksud Faraid Ramai Yang Tak Tahu
Artikel ini ditulis oleh Abd Rahaman Rasid, Perunding as-Salihin Trustee Berhad. Beliau boleh dihubungi dengan 013 366 1242 atau email abdrahaman@gmail.com