Site icon Blog Rahaman

Anak Tak Sah Taraf Tak Boleh Dibin dan Binti Nama Bapa Anak Itu

Anak tak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan seorang kanak Islam yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan nama bapa.

Panel 7 hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada tahun 2017, memutuskan anak orang Islam yang tak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘dibin atau binti Abdullah.’

Hakim Rohana berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Rohana berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui itu ialah bapa kepada anak itu.

Hakim Rohana mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tak sah taraf yang diwartakan di Johor.

Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Anak Tak Sah Taraf

Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa anak tidak sah taraf Islam hendaklah ‘dibin atau binti Abdullah’.

“Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang di negeri Johor dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan dalam Warta Negeri selaras dengan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak munasabah dalam menggunakan fatwa tertentu ke atas kanak-kanak itu serta ibu bapanya, dan dengan berbuat demikian, Ketua Pengarah JPN telah merampas kuasa Sultan Johor.

Beliau berkata, Ketua Pengarah JPN, dalam melaksanakan pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam, boleh merujuk dan bergantung pada Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mengenai pewarisan harta pusaka.

Katanya, tindakan Ketua Pengarah JPN tidak membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu dibin dengan namanya betul dari segi undang-undang.

Tiga lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun bersetuju dengan Hakim Rohana, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Dalam penghakiman menentangnya, Hakim Nallini berkata, Seksyen 13A terpakai dalam pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam yang membolehkan mereka dibin atau dibinti dengan nama peribadi individu yang mengaku sebagai bapa kanak-kanak itu.

Beliau berkata, BDRA terpakai kepada semua orang di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, peguam Datuk Ikbal Salam yang mewakili Majlis Agama Islam Johor memberitahu pemberita bahawa fatwa berkaitan anak tidak sah taraf dibin atau dibinti Abdullah bagi negeri Johor hanya diwartakan pada 21 Mei 2018.

Beliau berkata, meskipun fatwa itu diwartakan selepas kes berkenaan bermula, namun pada masa akan datang, kedudukan seseorang individu akan jelas kerana sudah terdapat fatwa yang diwartakan di Johor yang berkaitan dengan anak tidak sah taraf.

Responden dilahirkan kurang enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah undang-undang syariah.

Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA untuk kanak-kanak itu dibin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya, tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu tidak sah taraf.

Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos 2016.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPN menggantikan nama keluarga kanak-kanak berkenaan, iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Khamis, 13 Februari 2020 | 1:56pm

Kredit: BH Online
Mahkamah Persekutuan putus anak tak sah taraf tidak boleh dibinkan, binti nama bapa

Ulasan dan Kesimpulan Mengenai Isu Anak Tak Sah Taraf

Pautan:
Apa Kaitan Hukum Faraid Dengan Harta Pusaka?

Naim: Imej, Reputasi Islam Lebih Penting

Percanggahan pendapat mengenai anak tidak sah taraf, sama ada boleh dibinkan kepada bapa kandung, bukan sahaja bertujuan untuk menjaga maruah anak berkenaan, sebaliknya untuk memelihara imej dan reputasi Islam secara  keseluruhannya.

Dato Dr Mohd Naim Mokhtar

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Naim Mokhtar, berkata pertikaian mengenai anak tidak sah taraf perlu dilihat lebih menyeluruh kerana ia membabitkan isu lebih besar, termasuk nasab, harta pusaka, wali dan aurat anak berkenaan.

Katanya, berbeza dengan stigma masyarakat yang sering mengaitkan isu malu terpaksa ditanggung anak berkenaan, Islam sebenarnya melihat perkara itu secara lebih luas, termasuk reputasi agama dan hubungan anak terbabit.

“Pada pandangan saya, Majlis Fatwa Kebangsaan secara jelas dan konsisten memperuntukkan anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan bapa.

“Ia untuk memastikan maruah keluarga terus terpelihara dengan mengambil kira semua perkara yang sudah diperhalusi, termasuk soal nasab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Persada Ke-38 bertajuk ‘Anak Tak Sah Taraf: Melindungi Maruah Wanita atau Mematuhi Syariah’.

Program itu dianjurkan Jabatan Canselori dengan kerjasama Institut Islam Hadari dan Pusat Kepimpinan Wanita, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Turut menjadi panel adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM, yang juga Felo Kanan Institut Islam Hadhari, Prof Madya Dr Fariza Md Sham (UKM) dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Zaini Nasoha.

Majlis dirasmikan bekas Profesor Fakulti Pengajian Islam dan Institut Islam Hadhari (UKM), Datuk Zakaria Stapa.

Naim berkata, statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak empat tahun lalu menunjukkan bilangan anak tidak sah taraf mencecah 74,723 orang.

“Angka yang besar ini menunjukkan jumlah peningkatan kes yang tinggi dan kita perlu memperhalusinya dengan sewajarnya,” katanya.

Naim juga meminta masyarakat menghormati dan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti, anak tidak sah taraf.

Katanya, sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berikutan pihaknya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan membabitkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan anak tidak sah taraf boleh `dibin’ atau `dibintikan’ bapanya.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan anak tidak sah taraf, iaitu yang lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dibin atau dibintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan  baru-baru ini, membenarkan anak tidak sah taraf boleh dibin atau bintikan kepada bapanya, bertentangan dengan Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Saf Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 25 Jun 1998.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundangan Islam.

Kredit: BH Online
Imej, Reputasi Islam Lebih Utama

Pautan:
Apa Kaitan Hukum Faraid Dengan Harta Pusaka?

Keputusan Membenarkan Bin Atau Bintikan Bapa Anak Luar Nikah melanggar Syarak

Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundangan Islam.

Ia dilihat bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang sebelum ini memutuskan anak tidak sah taraf, sama ada diikuti dengan perkahwinan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah yang bermaksud hamba Allah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, bersependapat keputusan itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohd Tamyes berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-Quran yang menjelaskan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan.

“Ada fatwa beberapa negeri yang memutuskan anak yang dilahirkan di bawah tempoh enam bulan, boleh dinasabkan pada bapanya, atas alasan tidak mahu anak itu kelak menanggung malu.

“Hakikatnya, anak itu tidak wajar menanggung malu kerana ibu bapanya yang berdosa. Tidak mustahil selepas ini ramai anak tidak sah taraf akan membuat permohonan untuk dibin atau bintikan kepada bapa mereka.

Rujuk mahkamah syariah

“Mahkamah sepatutnya memperakui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri, di samping merujuk kepada mahkamah syariah dalam hal berkaitan agama Islam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya tertakluk kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 dan tidak terikat dengan fatwa.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada ‘Abdullah’ kepada nama sebenar bapa anak berkenaan dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan.

Pandangan Mohd Tamyes itu disokong Hassan yang menegaskan, adalah berdosa jika anak tidak sah taraf itu dibin atau dibintikan pada bapanya susulan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memuji keputusan itu yang seiring dengan keputusan fatwa negeri berkenaan yang membolehkan anak yang lahir kurang dari enam bulan, dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Beliau mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu menzalimi anak terbabit dan ibu bapa mereka sepanjang hayat.

Berpandukan Mazhab Shafie

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata jika anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan pada bapanya, ia akan menimbulkan kekeliruan dan pelbagai masalah seperti ketika mahu berkahwin dan pengagihan harta pusaka.

Katanya, bapa berkenaan tidak boleh menjadi wali kepada anak tidak sah taraf dan jika ia berlaku, perkahwinan itu tidak sah.

“Jika berlaku kematian pula, bapa atau anak itu tidak layak menerima harta pusaka dan jika diberikan juga, ia dikira merampas hak orang lain.

“Saya menghormati keputusan mahkamah, namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Shafie,” katanya.

Katanya, ada pendapat lain membenarkan anak itu dibin atau dibintikan pada bapa, namun setiap keputusan perlu berpandukan Mazhab Shafie yang diamalkan di negara ini.

Khas untuk peminat Ilmu Faraid, Hibah, Harta Sepencarian dan Wasiat. Join sekarang. Keahlian percuma terhad 1,000 orang sahaja.

Kelab Eksklusif Faraid-Hibah-HartaSepencarian-Wasiat

Video Penerangan Sebab Orang Membuat Wasiat

Sebab Orang Buat Wasiat

Kredit: BH Online
Keputusan benarkan bin bapa anak luar nikah langgar syarak

Pautan:
Apa Kaitan Hukum Faraid Dengan Harta Pusaka?

Bagaimana Menyediakan Hibah Yang Berkesan

Rahsia Membuat Wasiat Terbongkar

Exit mobile version